Mari membaca serentak selama 10 minit 2015
Artikel hanya terdapat dalam bahasa Melayu | Article available only in Malay
Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia dan Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia akan mengadakan program "Mari Membaca Serentak Selama 10 Minit / Let's Read Together For 10 Minutes" secara serentak seluruh Malaysia.
Sehubungan dengan itu, pihak kami memohon jasa baik seluruh rakyat Malaysia untuk terlibat dalam program ini yang akan berlangsung pada:
Tarikh : 23 April 2015
Masa : 10:00 hingga 10:10 pagi
Tempat : Dimana sahaja di seluruh Malaysia atau di Perkarangan Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan
Segala kerjasama daripada semua pihak dalam menyokong program ini amatlah dihargai.
Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia dan Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia akan mengadakan program membaca secara serentak selama 10 minit di seluruh Malaysia.
Program yang diberi nama “Mari Membaca Serentak Selama 10 Minit / Let’s Read Together For 10 Minutes” merupakan program yang julung kali diadakan di seluruh Malaysia merupakan langkah pertama untuk membentuk masyarakat ke arah minat membaca walaupun dalam tempoh yang singkat (10 minit). Program ini akan diadakan serentak di seluruh negara pada tarikh dan waktu yang sama dengan konsep BERHENTI SEBENTAR DAN MEMBACA BERSAMA SELAMA 10 MINIT.
Program ini dijangka akan diadakan serentak di seluruh Malaysia pada 23 April 2015 bermula jam 10:00 hingga 10:10 pagi. Orang ramai digalakkan untuk berhenti seketika pada waktu tersebut dan mengambil bahagian dengan membaca apa-apa jua jenis bahan bacaan.
Tujuan program ini dilaksanakan adalah sebagai langkah pertama ke arah menjenamakan inisiatif membaca dengan menjadikan perpustakaan sebuah organisasi yang relevan dalam pendidikan selepas waktu persekolahan (school after school).
Selain daripada itu, ia juga akan mewujudkan sinergi dan hubungan yang cekap antara perpustakaan awam dengan pihak jabatan-jabatan kerajaan, IPTA, IPTS, sekolah-sekolah, badan korporat, NGO dan orang awam.
Tarikh 23 April dipilih sebagai hari program ini di seluruh Malaysia memandangkan pada tarikh tersebut telah ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) sebagai Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia bertujuan untuk promosi membaca, penerbitan dan hak cipta.
Pelaksanaan program ini diharapkan agar dapat memupuk minat MEMBACA di kalangan rakyat negeri Kelantan khasnya dan rakyat Malaysia amnya sekali gus menjadikan perpustakaan awam relevan dalam masyarakat dan memartabatkan pustakawan sebagai warga pendidik selepas sekolah seterusnya akan melahirkan masyarakat berbudaya ilmu. Kerjasama dari semua pihak amat diharapkan bagi kelancaran program ini. Adalah menjadi satu harapan agar program ini dapat diteruskan pada setiap tahun yang akan datang.